Senin, 23 Desember 2013
Shahrizat KJ Dapat Sokongan Besar Bahagian
KUALA LUMPUR – Seperti dijangka, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar masing-masing mengekalkan jawatan Ketua Pergerakan Wanita dan Ketua Pergerakan Pemuda pada pemilihan sayap-sayap UMNO, Sabtu.
Mereka mendapat sokongan besar daripada bahagian sayap masing-masing apabila keputusan setakat 3.30 pagi Ahad menunjukkan Shahrizat menerima 100 undi dan Khairy 97 undi.
Kemenangan mereka diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali di Pusat Dagangan Dunia Putra di ibu negara.
Mas Ermieyati Samsudin pula dipilih sebagai Ketua Puteri UMNO yang baharu setelah memperoleh 96 undi.
Di KUALA TERENGGANU, kesemua lapan bahagian di Terengganu menyokong Shahrizat dan Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Belia dan Sukan untuk mempertahan jawatan masing-masing.
Bagi calon Naib Ketua Wanita pusat, kesemua bahagian memilih Datuk Azizah Mohd Dun kecuali Kuala Nerus yang menyokong pesaing beliau iaitu Datuk Suraya Yaacob.
Bagi jawatan Naib Ketua Pemuda pusat, Besut menyatakan sokongan terhadap calon Jamawi Jaafar manakala Hulu Terengganu menyokong calon Khairul Azwan Harun dan Setiu memilih Lokman Nor Adam.
Lima lagi bahagian iaitu Kuala Terengganu, Dungun, Kuala Nerus, Kemaman dan Marang belum mengeluarkan keputusan sehingga 12 tengah malam Sabtu.
Sementara itu calon Ketua Puteri pusat, Mas Ernieyati Samsudin memperoleh lima undi daripada lapan bahagian UMNO dari Terengganu, berbanding calon Jamilah Hanim Othman yang hanya memperoleh satu undi.
Bahagian yang menyokong Mas Ermieyati ialah Besut, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu dan Setiu manakala bahagian yang menyokong Jamilah Hanim ialah Kuala Nerus.
Bahagian Dungun dan Kemaman belum mengeluarkan keputusannya.
Bagi jawatan Naib Ketua Puteri, Zahida Zarik Khan dan Norsabrina Mohd Nor masing-masing mendapat tiga undi.
Tiga bahagian yang menyokong Zahida ialah Besut, Setiu dan Kuala Nerus manakala tiga lagi bahagian yang menyokong Norsabrina iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu.
Bahagian lain iaitu Dungun dan Kemaman belum mengeluarkan keputusannya.
Di MELAKA, Shahrizat, Khairy Jamaluddin dan Mas Ermieyati memperoleh mandat penuh UMNO Melaka apabila semua enam bahagian di negeri itu memilih mereka.
Anak jati Melaka, Mas Ermieyati cemerlang dalam pertarungan ‘home ground’ pada pemilihan hari Sabtu apabila memperoleh 1,190 daripada 1,249 undi perwakilan sayap Puteri di negeri itu, meninggalkan pencabarnya Jamilah Hanim Othman dengan hanya 59 undi.
Malah, perwakilan puteri di Bahagian Jasin dan Kota Melaka memberikan undi 100 peratus kepada Mas Ermieyati yang juga Anggota Parlimen Masjid Tanah dengan masing-masing 205 dan 112 undi.
Turut menarik perhatian ialah Bahagian Masjid Tanah dan Tangga Batu masing-masing hanya memberikan satu undi kepada Jamilah Hanim, manakala Mas Ermieyati memperoleh 216 dan 188 undi daripada kedua-dua bahagian itu.
Bagi Bahagian Alor Gajah pula Mas Ermieyati memperoleh 233 undi berbanding Jamilah Hanim 14 undi dan Bahagian Bukit Katil 226 undi berbanding pencabarnya 43 undi.
Pertarungan sayap wanita juga menyaksikan Shahrizat jauh meninggalkan dua pencabarnya iaitu Datuk Maznah Mazlan dan Raihan Suleiman Palestin apabila memperoleh 1,588 undi daripada keseluruhan 2,030 undi perwakilan sayap wanita di Melaka berbanding Maznah (306) dan Raihan (136).
Bahagian Bukit Katil memberikan undi terbanyak kepada Shahrizat dengan 312 undi diikuti Bahagian Alor Gajah 290 undi, Masjid Tanah (277), Kota Melaka (271), Jasin (253) dan Tangga Batu (185).
Senario hampir sama berlaku dalam pemilihan sayap Pemuda apabila Khairy Jamaluddin memperoleh 1,662 undi daripada keseluruhan 1,924 undi perwakilan sayap Pemuda di Melaka.
Ramalan saingan sengit lima penjuru itu nyata meleset apabila Khairy Jamaluddin jauh meninggalkan pencabarnya Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi yang memperoleh 149 undi, diikuti Syed Rosli Syed Harman (97), Irwan Ambak Khalid Izhar (12) dan Abd Karim Ali (4).
Bahagian Jasin dilihat memberikan undi terbanyak kepada Khairy dengan 340 undi, diikuti Bahagian Bukit Katil dengan 333 undi, Alor Gajah (297), Tangga Batu (280), Kota Melaka (258) dan Masjid Tanah (154). – BERNAMA
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar