Selasa, 24 Desember 2013
Liverpool Dikejut Hull Turun Tangga ke 4
Liverpool terpaksa merelakan kedudukan tangga kedua Liga Perdana Inggeris yang dihuni mereka sebelum ini dipintas Chelsea dan Manchester City selepas skuad kendalian Brendan Rodgers itu tewas mengejut 1-3 kepada Hull City, malam tadi.
Dengan kekalahan itu, Liverpool kini kekal 24 mata untuk berada di tangga keempat, berkongsi sama mata dengan pasukan tangga kelima, Everton.
Manakala Arsenal terus gah di tangga teratas liga dengan 31 mata selepas 13 perlawanan diikuti Chelsea yang mengumpul 27 mata hasil kemenangan 3-1 ke atas Southampton dan City dengan 25 mata selepas menewaskan Swansea 3-0.
Di Stadium KC, Steven Gerrard berjaya menyamakan kedudukan buat Liverpool, tujuh minit selepas jaringan pembukaan Hull menerusi Jake Livermore pada minit ke-20.
Namun ketiadaan penyerang prolifik, Daniel Sturridge yang mengalami kecederaan ligamen pada buku lali ketika latihan dan dijangka berehat dua bulan begitu dirasai Liverpool apabila gawang mereka pula dibolosi dua lagi gol pada babak kedua oleh Hull menerusi David Meyler minit ke-72 dan jaringan sendiri Martin Skrtel minit ke-87.
Di Stamford Bridge, Chelsea dikejutkan jaringan pasukan pelawat, Southampton seawal 13 saat permainan dimulakan apabila Jay Rodriguez memanfaatkan kesilapan hantaran ke belakang oleh pemain tengah Chelsea, Michael Essien.
Namun Chelsea bangkit membalas tiga gol selepas itu menerusi Gary Cahill minit ke-55, John Terry (62) dan Demba Ba (90) untuk kemenangan keenam daripada tujuh aksi di laman sendiri musim ini selain meneruskan rekod tanpa kalah Jose Mourinho di Stamford Bridge kepada 67 perlawanan.
Di Stadium Etihad, City meneruskan rekod bersih di laman sendiri musim ini selepas mudah mengatasi Swansea 3-0 menerusi jaringan Alvaro Negredo seawal minit kelapan diikuti dua jaringan Samir Nasri minit ke-58 dan 77.
Sementara itu, juara bertahan, Manchester United terus tercicir mata apabila sekadar seri 2-2 dengan Tottenham di White Hart Lane.
Tottenham dua kali mendahului menerusi Kyle Walker pada minit ke-18 dan Sandro minit ke-54, namun kedua-duanya disamakan Wayne Rooney pada minit ke-32 dan sepakan penaltinya minit ke-57.
Keputusan seri itu menyaksikan United kini di tangga kelapan dengan 22 mata manakala Tottenham di tangga kesembilan dengan 21 mata.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar