• Konvensyen Nasional PKR
SHAH ALAM - Seorang anggota perwakilan PKR hari ini mencadangkan Ketua Umum parti Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan presiden berdasarkan sumbangan dan pengorbanannya kepada parti.

Setiausaha PKR Selangor, Amirudin Shari berkata, perkara itu juga sah mengikut perlembagaan parti itu.

"Inilah saat terbaik untuk Anwar mengambil alih dan menerajui kepimpinan PKR sebagai pemimpin utama parti," katanya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Caves ketika membahas cadangan pindaan perlembagaan PKR pada Kongres Nasional Khas PKR di sini, hari ini.

Anwar ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya kongres itu berkata beliau perlu menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi pindaan perlembagaan parti sebelum membuat sebarang keputusan mengenai jawatan presiden.

Sementara itu, timbalan presiden PKR, Azmin Ali berkata, Anwar sudah bebas daripada halangan undang-undang dan boleh bergiat aktif dalam politik dengan memegang jawatan presiden parti.

"Ini juga sentimen anggota perwakilan yang hadir ke kongres hari ini," katanya kepada pemberita.

Mengenai pindaan perlembagaan PKR yang diluluskan hari ini, Azmin berkata pihaknya akan menghantar pindaan itu kepada ROS minggu depan dan berharap dapat mengguna pakai pindaan baharu itu menjelang pemilihan parti Mac depan. - Bernama